SELAMAT DATANG KE LAMAN PBS PRAU SMK PENGKALAN CHEPA 1

Sunday, 10 November 2013

Gerakan Koperasi di Malaysia

p>Gerakan Koperasi di Malaysia
Tahun 2012 menyaksikan sejarah tercipta dalam sektor koperasi peringkat dunia apabila ia diisytiharkan sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa. Majlis IYC 2012 diadakan di Manchester, United Kingdom. IYC disasarkan untuk meningkatkan kesedaran awam akan sumbangan yang tidak ternilai gerakan koperasi dalam mengurangkan kemiskinan, menyediakan peluang pekerjaan dan mewujudkan integrasi sosial. Ini membuka minda ke arah satu paradigma baru yang sewajarnya diteladani oleh sektor koperasi negara.
Paradigma yang dimaksudkan berkisar rapat dengan kesedaran kurang memberangsangkan dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai potensi koperasi walhal di peringkat global gerakan koperasi telah diangkat sebagai satu sektor peneraju utama ekonomi dunia sebaris dengan sektor yang lain.
TINGKAT KESEDARAN, AMBIL CONTOH
Kesedaran umum mengenai koperasi dan bagaimana dapat memberi manfaat kepada anggota koperasi adalah sangat penting untuk dipertingkatkan. Masih ramai rakyat di negara ini yang tidak sedar akan sumbangannya terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara. Semangat berkoperasi dalam negara perlu lebih aktif, komprehensif dan kompeten sepertimana aktif dan giatnya aktiviti berkoperasi di luar negara.
Masyarakat dunia mengiktiraf kegiatan koperasi sebagai suatu medium yang mampu mengubah kehidupan dengan mengurangkan kadar kemiskinan sekaligus menjadi peneraju ekonomi. Justeru, Malaysia juga harus menumpukan ke arah usahasama memajukan kegiatan koperasi ini. Kita harus mampu mewujudkan budaya berkoperasi dalam komuniti mereka sendiri tanpa melibatkan urusan dengan orang tengah.
Di negara kita, masyarakat masih beranggapan penyertaan koperasi dalam ekonomi terbatas kepada aktiviti tradisi pinjam meminjam semata sekaligus mempengaruhi penglibatan individu untuk menyertai koperasi.
Justeru, kesedaran mengenai betapa pentingnya sektor koperasi negara ini adalah penting dipupuk dan dihebahkan.
REPLIKA BANDAR, PAMERAN JALANAN
Koperasi di Malaysia yang hanya bermula dengan sebuah koperasi kredit pada tahun 1922, kini bilangan koperasi yang berdaftar telah meningkat berlipat ganda kepada lebih 10,000. Penyertaan koperasi negara juga tidak terbatas kepada aktiviti tradisi pinjam meminjam, tetapi kini meliputi pelbagai sektor ekonomi termasuk pemborongan dan peruncitan, perladangan, perumahan, pelancongan, pengangkutan dan industri asas tani. Dengan didokong lebih tujuh juta anggota pada hari ini, gerakan koperasi negara berjaya menjana perolehan melebihi RM23 bilion.
Hari Koperasi Negara (HKN) yang menjadi acara tahunan SKM juga adalah antara medan utama SKM bagi mempromosikan konsep dan produk koperasi kepada rakyat, sekaligus menjadi pengantara bagi rakyat mendekati selok-belok perkembangan sektor koperasi. Sepertimana HKN, ruang interaktif itu juga antara lain bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kewujudan rangkaian koperasi di peringkat global.
Global300 Report yang dilancarkan oleh ICA baru- baru ini menyenaraikan 300 koperasi dengan keuntungan keseluruhan berjumlah USD1.6 trillion, yang menyamai Keluaran Negara Kasar (KDNK) ekonomi yang ke sembilan terbesar di dunia. Gerakan koperasi di peringkat global telah terbukti berjaya dapat membangunkan sosio ekonomi masyarakatnya dan kejayaan ini harus dijadikan platform oleh masyarakat kita agar yakin dengan pembangunan sektor koperasi negara.
DASAR KOPERASI NEGARA
Sungguhpun kerajaan Malaysia telah mengiktiraf peranan dan sumbangan gerakan koperasi dalam pembangunan negara sejak dahulu lagi, itu tidak bermakna rakyat boleh beranggapan negara kini sudah berada di takuk selesa. Ada juga yang berfikiran koperasi ini hanyalah gerakan di luar bandar yang kecil dan tertumpu kepada perniagaan berbentuk perkhidmatan sahaja. Justeru tanggapan sedemikian haruslah dihakis kerana hasrat kerajaan kini jauh lebih besar.
Dasar Koperasi Negara 2011-2020, rentetan kepada dasar yang mula diperkenal pada 2002 adalah suatu dasar yang menetapkan hala tuju yang jelas untuk gerakan koperasi memikul tanggungjawab yang lebih dalam agenda transformasi negara. Dasar diketengahkan bagi memberi nafas baru kepada gerakan koperasi untuk menarik koperasi keluar daripada kitaran zon selesa ke tahap yang baru.
Ia dulu telah terbukti berperanan dalam agenda pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaan negara. Kini, sektor ini seharusnya terlibat dengan aktiviti baru dengan skala yang lebih besar agar koperasi menjadi satu entiti perniagaan yang lebih efisien dan mampu meningkatkan pendapatan anggotanya.
BLUEPRINT
Jika Dasar Koperasi Negara menjadi nadi penggerak di peringkat nasional, sebuah ‘blueprint’ hala tuju koperasi 2011-2020 yang dilancarkan oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) pada IYC 2012 juga mempunyai tujuan yang sama.
Selaku badan bukan kerajaan (NGO) terbesar yang bertanggungjawab dalam menyatu dan memberi khidmat nasihat kepada 93 negara anggotanya termasuk Malaysia, ICA di dalam ‘blueprint’ itu antara lain menyentuh mengenai cabaran koperasi pada tahun 2020. Perancangan yang terkandung dalam ‘blueprint’ mendorong koperasi di seluruh dunia untuk lebih bersedia menjadi peneraju ekonomi, sosial dan persekitaran yang mapan.
Diharapkan semua lapisan masyarakat dapat menerima koperasi sebagai satu entiti perniagaan dan enterprise yang berkembang dengan pesatnya.

No comments:

Post a Comment