Faktor-faktor yang menjejaskan integriti boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu, kepimpinan, sistem dan prosedur, struktur dan institusi, budaya dan individu.
1. Kepimpinan
• Kepimpinan sangat penting dalam mencorakkan budaya organisasi dan masyarakat serta tahap integriti.
• Kepimpinan pelbagai peringkat perlu mempunyai azam dan iltizam yang teguh untuk memberikan pedoman, dan petunjuk serta melakukan perubahan untuk kebaikan.
• Iltizam yang lemah akan menyebabkan merosotnya integriti.
• Begitu juga pemimpin yang tidak memberikan teladan yang baik, lebih-lebih lagi mereka yang “cakap tidak serupa bikin”.
• Pemimpin juga mesti mematuhi undang-undang, prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
• Sebarang tindakan pemimpin mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan undang-undang, prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan akan menjejaskan integriti.
2. Sistem dan Prosedur
• Sistem dan prosedur merangkumi pelbagai dimensi.
• Enam aspek sistem dan prosedur yang boleh menjejaskan integriti ialah:
• Kurang ketelusan dalam urusan yang melibatkan kepentingan awam, misalnya dalam urusan tender.
• Kelemahan sistem, prosedur dan garis panduan bagi menjalankan tugas.
• Kelemahan ini boleh menyebabkan ketidakcekapan, kecelaruan dan perselisihan pendapat dalam kalangan petugas.
• Penguatkuasaan yang tidak berkesan dan ada kalanya dilakukan secara berpilih.
• Kurang pemantauan dan penilaian tentang keberkesanan sesuatu strategi atau program.
• Keupayaan sumber yang terhad sama ada sumber manusia ataupun material sehingga menjejaskan keupayaan penguatkuasaan.
• Kerangka undang-undang yang lapuk, kurang jelas dan adanya percanggahan dalam sesetengah undang-undang.
3. Struktur dan institusi ialah komponen penting dalam menjamin kelancaran pentadbiran Kerajaan, swasta dan masyarakat umum.
• Struktur sesebuah organisasi perlu kemas, terfokus serta mempunyai matlamat yang jelas dan munasabah.
• Bahagian-bahagian di dalamnya haruslah sesuai dengan tugasnya.
• Struktur organisasi juga perlu diubah dan diperkemas dari semasa ke semasa bagi menangani tuntutan dan cabaran baru.
• Struktur yang tidak kemas, kurang fokus dan lapuk akan membazirkan sumber dan menyebabkan tidak berkesan untuk mencapai matlamatnya.
• Institusi memainkan peranan yang amat penting dalam keseluruhan sistem pentadbiran.
• Skop, tugas dan tanggungjawab antara institusi perlu diperincikan dan dikoordinasi dengan baik.
• Pertindihan dalam skop, tugas dan tanggungjawab boleh mengakibatkan persaingan tidak sihat ataupun konflik antara institusi, serta pengabaian tanggungjawab.
• Kurang koordinasi antara institusi pula boleh menyebabkan pembaziran sumber dan tugas yang dilakukan tidak sempurna.
• Institusi yang mempunyai matlamat atau kepentingan yang bertentangan antara satu sama lain juga boleh menjejaskan integriti.
• Misalnya, ada institusi yang memupuk nilai-nilai murni, sedangkan ada institusi lain menyebarkan nilai-nilai sebaliknya.
• Pertentangan kepentingan antara institusi yang berlaku secara berterusan serta nilai-nilai yang berlawanan itu boleh menimbulkan kecelaruan dan krisis nilai.
• Dengan demikian, integriti individu, masyarakat dan negara turut terjejas.
4. Budaya
• Persekitaran amat penting dalam mempengaruhi individu dari segi pembentukan nilai dan tingkah laku.
• Salah satu komponen persekitaran ialah budaya.
• Budaya dipengaruhi oleh sejarah dan perkembangan semasa.
• Justeru, budaya berubah dan boleh diubah.
• Budaya yang menjunjung tinggi integriti akan memberi persekitaran yang sesuai kepada individu untuk tidak menyimpang dalam tingkah lakunya.
• Budaya yang sebaliknya akan mempengaruhi mereka untuk bersikap tidak ambil peduli, tidak bertanggungjawab dan melepaskan tanggungjawab kepada orang lain.
• Salah satu kesan sikap di atas ialah keengganan membuat laporan atau menegurapabila melihat sesuatu kesalahan berlaku.
• Kebimbangan terhadap akibat tindakan menegur atau melapur adalah antara punca keengganan tersebut.
• Contohnya, individu yang mempunyai maklumat mengenai atau menyaksikan sesuatu salah laku, bimbang akan keselamatan dirinya sekiranya membuat aduan.
• Maka timbullah sikap dan amalan ’angguk’ dan ‘ampu’ lebih-lebih lagi terhadap pemimpin.
5. Individu
• Akhir sekali, penentu kepada kejayaan pengukuhan integriti ialah diri sendiri.
• Individu yang lemah didikan agama dan penghayatan nilai-nilai murni, lemah disiplin diri dan etika kerja, serta tamak dan mementingkan diri akan melibatkan diri dalam pelbagai bentuk salah laku.
• Kemerosotan integriti juga boleh berlaku sekiranya individu itu hanya meihat kelemahan orang lain, enggan memeriksa kelemahan diri sendiri, lantaran itu jauh sekali untuk mengakui dan mengatasinya.
• Tekanan hidup juga boleh menyebabkan individu terjerumus ke dalam kancah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan gejala tidak bermoral.
• Hal ini berkemungkinan lebih besar berlaku sekiranya pegangan kepada nilai-nilai murni itu sendiri adalah lemah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment