‘Samseng Jalanan’ @ Mat Rempit
Abstrak
‘Samseng jalanan’ akan menggantikan istilah Mat Rempit bagi mengelak publisiti dan pembentukan identiti kepada golongan berkenaan. Pihak media dan pengeluar filem tidak mengagung-agungkan golongan berkenaan dengan memberi publisiti keterlaluan. Pihak Polis tidak mahu mempopularkan istilah Mat Rempit kerana tidak mahu golongan itu mempunyai identiti sendiri dan bangga dengan istilah tersebut. Penggunaan istilah dan penghasilan filem aktiviti Samseng Jalanan pada pendapatnya dapat menggalakkan lagi kegiatan tidak bermoral di kalangan belia negara ini.
Pengenalan
Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit.
Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.
Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.
Mereka beraksi di celah-celah kereta yang penuh sesak di Kuala Lumpur untuk mendapat perhatian orang ramai. Lebuh raya Lekas di Semenyih yang belum siap sepenuhnya telah mengorbankan beberapa remaja belasan tahun.
CERITA MAT REMPIT
Teknik menunggang
Teknik menunggang juga diperhatikan dan berubah dari semasa ke semasa. Semakin bahaya, semakin mendapat tepukan penonton dan mereka berasa bangga menjadi juara. Teknik itu seperti willi, baring, berdiri dan sebagainya.
Cabaran
Jalan yang mencabar ialah di selekoh berbahaya, jalan berlubang, berair, berlumba melawan arus, tanpa lampu depan dan menerima cabaran rakan-rakan, musuh dan orang ramai.
Sanggup mati katak
Mereka sanggup cedera parah malah berani mati katak ketika berlumba. Ketika berlumba, mereka akan pejam mata, lampu motosikal ditutup dan menunggang motosikal melawan arus jalan raya. Pastinya mereka di bawah pengaruh dadah sintetik seperti syabu dan ice. Ketika berlumba mereka terbayang ‘ular’ atau musuh ‘alien’ yang perlu ditentang habis-habisan. Mereka ditugaskan untuk menjadi hero membunuh musuh. Mereka tidak ada perlindungan diri seperti kasut, seluar tebal , lapik lutut, topi keledar mahupun insurans nyawa.
Sekatan jalan raya
Sekatan jalan raya oleh polis trafik lebih menyeronokkan. Mereka akan berpatah balik melawan arus jika ada sekatan polis. Ada juga yang merempuh sekatan jalan raya. Polis trafik yang bersenjata pistol dan kayu cota tidak dipedulikan. Ibu bapa dan masyarakat akan menyalahkan polis jika bertindak kasar seperti menendang motosikal yang bergerak laju. Ada juga kes polis yang membaling kayu pada tayar yang bergerak laju untuk melarikan diri. Usaha polis trafik mengadakan sekatan jalan raya dan mengawasi pergerakan mat rempit seolah-olah diperlekehkan sehingga ada yang berani merempuh sekatan yang diadakan. Kelicikan mat rempit mengenal pasti jalan-jalan yang selamat juga menyebabkan golongan ini mendabik dada kononnya mereka bijak melarikan diri daripada pengawasan pihak berkuasa. Malahan, anggota polis sendiri pernah menjadi mangsa tindakan melulu mat rempit di mana ada anggota polis yang pernah cedera dan terkorban dalam operasi terhadap mat rempit.
Ganjaran
Biasanya mat rempit terdiri daripada remaja belasan tahun yang masih bersekolah , menggunakan motosikal ibu bapa atau abang-abang mereka. Mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah. Mereka bersaing sesama sendiri dan ada kalanya mendapat ‘hadiah’ berbentuk wang dan gadis bohsia sebagai taruhan. Bagi menambah kelajuan motosikal, piston, brek, handle, tayar dan lain-lain diubahsuai.
GELARAN ‘MAT REMPIT’ SEOLAH PENGIKTIRAFAN
Hentikan menggelar mereka yang terbabit dengan kegiatan perlumbaan motosikal haram sebagai ‘Mat Rempit’ – demikian langkah pertama yang dicadangkan pakar psikiatari terkenal, Prof Mohamad Hussain Habil dean Jabatan Psikiatari Universiti Malaya, bagi mengatasi masalah itu. Dengan memberi gelaran itu kepada mereka, golongan berkenaan akan berasa lebih besar kepala dan mendorong mereka untuk meneruskan gelagat mereka dengan lebih kerap dan angkuh.
Sebenarnya, remaja yang terlibat dengan perlumbaan motosikal haram ingin mencari perhatian dan label ‘Mat Rempit’ yang diberi kepada mereka akan menjadikan mereka lebih seronok dan menganggapnya sebagai lesen atau pengiktirafan oleh masyarakat terhadap kegiatan mereka. Cerita tentang mereka yang sering tersiar dalam akhbar, majalah, radio dan televisyen juga menjadikan mereka lebih berazam untuk meneruskan gaya hidup mereka itu kerana ia memenuhi ego mereka yang kononnya merupakan golongan yang macho dan berani.
INDIVIDU YANG TERLIBAT DENGAN GEJALA INI
1. Remaja
2. Remaja Bawah Umur dan Masih Bersekolah
PUNCA-PUNCA
1. perasaan ingin mencuba
2. tiada kawalan atau perhatian dari ibu bapa
3. kurang kasih sayang keluarga
4. pengaruh kawan-kawan
5. mengisi masa lapang/senggang
6. mendapat kepuasan ekstrem untuk menunjuk-nunjuk
7. mendapatkan habuan atau ganjaran
8. gaya hidup dan taraf pendidikan yang rendah
9. pengaruh filem atau cerita
10. tanda protes
MAT REMPIT JUGA MELAKUKAN JENAYAH SEPERTI:
1. kegiatan gengster
2. rompak berkumpulan
3. pergaduhan
4. laku musnah
5. membunuh
6. kecurian
7. buli
8. rogol
9. seks bebas
10. pengambilan dadah dan alkohol
LANGKAH PENCEGAHAN
• Bagi membanteras gejala lumba haram di ibu negara, polis trafik telah melancarkan operasi besar-besaran dengan lebih 500 mat rempit diperiksa di Dataran Merdeka. Operasi sama turut diadakan serentak di negeri lain iaitu Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
• Akta Pengangkutan Jalan dipinda bagi membendung gejala “mat rempit” dan perlumbaan motosikal haram. Pelajar berumur 15 hingga 19 tahun merupakan pelajar yang kandas dalam pelajaran atau telah berhenti sekolah, perlu ditahan di sekolah juvana, Sekolah Henry Gurney jika didapati bersalah untuk suatu tempoh ditetapkan. Mereka hendaklah dihukum membuat kerja-kerja amal sehingga 100 jam dan motosikal dirampas.
• Samseng jalan raya atau ‘Mat Rempit’ mungkin akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara mandatori setelah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda. Ini berikutan hukuman yang sedia ada ke atas samseng jalan raya yang disabitkan kesalahan iaitu denda minimum RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun tidak mampu menyedarkan mereka. Pesalah-pesalah yang di bawah umur dihantar ke sekolah-sekolah juvana. Tindakan undang-undang yang lebih ketat harus meliputi pembatalan lesen memandu serta-merta dan pengharaman pembelian motosikal bagi mereka yang disabitkan kesalahan.
• Kemudahan litar lumba dapat mengurangkan aktiviti perlumbaan motosikal haram di jalan raya ibu kota.
• Bagi menangani isu mat rempit, pelbagai saranan dalam bentuk meminda peraturan dan undang-undang jalan raya hendak dilakukan. Tetapi akhirnya, apa guna segala undang-undang yang digubal jika tidak ada penguatkuasaan dilakukan. Walaupun mungkin sesetengah anggota masyarakat sudah bosan dan letih dengan karenah mat rempit, tetapi kerajaan harus terus berusaha dan serius mewujudkan kesedaran dan membina akhlak mulia di kalangan remaja agar tidak terjebak dengan gejala ini. Kempen membanteras gejala mat rempit selama ini hanya sia-sia kerana tidak mendapat sokongan ibu bapa serta masyarakat. Kegagalan kawalan dan kurang perhatian ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka sanggup menggadai nyawa di jalan raya. Kerajaan perlu terus serius mengadakan kempen berterusan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda supaya sayangkan diri dan tidak menggadaikan nyawa di atas jalan raya. Selain pendekatan lembut, pendekatan keras juga perlu dilakukan. Tiada istilah kompromi untuk menangani golongan mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya.
HUKUMAN
Lumba Haram
Bil 1.
Kesalahan Menaja/menyertai lumba haram.
Seksyen/ Kaedah Kesalahan Seksyen 81
Seksyen/ Kaedah Hukuman Seksyen 81(2)
Seksyen 81(3)
Kadar Kompaun Mahkamah
Kadar Mahkamah Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya. Denda RM 2000 atau 6 bulan penjara dan lesen digantung satu bulan. Sabitan kedua denda RM 5000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya dan lesen digantung selama 3 tahun.
KESIMPULAN
Sebagaimana gejala sosial yang lain, peranan yang dimainkan ibu bapa adalah amat penting untuk menjayakan sebarang usaha menangani masalah tersebut. Selain mengenakan tindakan tegas ke atas mat rempit, tindakan yang sama tegas terhadap ibu bapa atau pemilik motosikal yang digunakan juga boleh membantu untuk menangani masalah ini, kalau tidak sekalipun, membantu mengelakkan gejala ini dari menjadi lebih buruk lagi. aktivis sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan untuk mencapai matlamat menangani gejala merempit. Apa sekalipun, yang pasti, masalah ini kini kian meruncing dan kesepaduan semua pihak adalah merupakan kunci yang akan dapat menyelesaikan segala permasalahan ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment